DALAM tempoh hampir dua tahun, sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garis sesar (garisan gempa bumi) Bentong, di Pahang.
Tiga lagi gempa bumi itu berlaku di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Rosaidi Che Abas berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong itu.
Kes terbaru pada 8 Okt lepas bagaimanapun mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari pukul 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, bermagnitud di antara 1.1 dan 2.8 skala Richter.
Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang.
Bagaimanapun hanya sekali, iaitu pada Mei 2008, jabatan berkenaan mengesan gempa lebih kuat berukuran 3.5 pada skala Richter.
"Apa yang boleh kita katakan ialah walaupun Bukit Tinggi dan Janda Baik berada di atas garisan gempa bumi, ia tidak mungkin melepasi ukuran 5.0 pada skala Richter dan ini bermakna, jika berlakupun gempa bumi, ia tidak akan merosakkan struktur bangunan yang kukuh.
"Kami tegaskan juga bahawa gempa berkenaan berlaku di sesar berkenaan dan bukannya di Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang negara," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini.
PENDUDUK BIMBANG
Penduduk di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik di Pahang yang sering merasai gegaran setiap kali berlaku gempa bumi bermagnitud besar di negara jiran baru-baru ini meminta kerajaan melakukan kajian terperinci terhadap struktur tanah di kawasan itu.
Desakan mereka dikuatkan dengan dakwaan gegaran yang mereka rasai baru-baru ini ekoran gempa bumi kuat di Sumatera Barat pada 30 Sept bukan sekadar gegaran biasa kerana mereka ada mendengar bunyi letupan dan dapat merasai pergerakan tanah ketika gegaran itu berlaku.
Menurut mereka, walaupun tiada runtuhan bangunan, kebelakangan ini bila berlaku gegaran ada saja harta benda yang rosak dan dinding atau lantai rumah yang retak.
Penduduk bercerita, kawasan Janda Baik dan Bukit Tinggi mencatatkan gegaran pertama pada November 2007 ekoran beberapa siri gempa bumi yang berlaku di sekitar Indonesia dan Filipina.
Dalam hal ini Dr Rosaidi memberi jaminan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Giosains dan beberapa jabatan berkaitan untuk membuat kajian segera ke atas muka dan struktur tanah dan batuan di situ.
"Kami juga akan menemu bual penduduk setempat mengenai apa yang dikatakan oleh mereka sebagai pergerakan bumi yang dirasai semasa gempa berlaku.
"Turut menarik minat kami ialah melihat kekuatan gegaran yang didakwa menyebabkan keretakan pada dinding dan lantai," katanya.
PENJELASAN JABATAN METEOROLOGI
Dr Rosaidi menjelaskan bahawa setakat ini gempa bumi yang berlaku ialah di antara 1 batu dan 10 batu di bawah permukaan bumi.
"Hanya dua kali gempa bumi berlaku dengan kekuatan antara 2.8 dan 3.5 pada skala Richter dan kedua-duanya pada kedalaman 10 batu di bawah muka bumi," katanya.
Malaysia kini mempunyai 13 stesen mengesan gempa di seluruh negara dengan tujuh daripadanya di Semenanjung, antaranya di Kulim, Kedah dan yang terbaru di Jerantut, Pahang manakala enam stesen di Sabah dan Sarawak.
"Pegawai-pegawai kami bertugas 24 jam sehari. Mereka akan memaklumkan kepada pihak berwajib dan setiap apa yang mereka rekodkan adalah mengikut masa sebenar gempa berlaku," katanya.
Terdapat empat garis sesar (garisan gempa bumi) di negara ini iaitu di Jerantut, Bentong, Kuala Lumpur dan yang terbaru di Manjong Perak.
Dalam pada itu Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Dr Yap Kok Seng berkata gempa bumi berskala kecil iaitu kurang daripada 2.8 pada skala Richter tidak menyebabkan kerosakan harta benda atau kehilangan nyawa.
"Kejadian gempa bumi yang berlaku di sekitar Bukit Tinggi merupakan satu proses penstabilan semula struktur batu-batan di sekitar Zon Garis Sesar Bukit Tinggi.
"Proses penstabilan ini dipercayai berlaku ekoran daripada himpitan batu-batan akibat beberapa kejadian gempa bumi bermagnitud besar yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Gempa bumi bermagnitud besar itu ialah pada 26 Dis 2004 di Aceh, Indonesia; di Nias, Indonesia (28 Mac 2005) dan yang terbaru pada 30 Sept 2009 di Padang, Indonesia serta Bengkulu pada 1 Okt 2009.
APA YANG DIKATAKAN GEMPA BUMI
Kekuatan gempa bumi diukur menggunakan mesin seismograf dan direkodkan ukurannya dalam skala Richter di antara 1.0 dan 10.0.
Gempa bumi pada ukuran 1.0 skala Richter memang terlalu kecil yang boleh berlaku setiap hari dan biasanya tidak dirasai manusia.
Ukuran dari 7.0 hingga 10.0 pada skala Richter ialah gempa bumi paling kuat yang berlaku dalam masa 10 hingga 20 tahun, menurut Pusat Maklumat Rakyat Jabatan Penerangan Malaysia.
PMR yang boleh diakses secara online itu turut memasukkan maklumat mengenai bagaimana kita harus bersedia untuk gempa bumi dan apa yang harus kita lakukan semasa berlaku gempa bumi.
Secara terperinci ia menyenaraikan tindakan yang boleh diambil sekiranya anda berada di dalam bangunan ketika gempa bumi berlaku, sekiranya anda di dalam bangunan tinggi, di laluan dekat bangunan, di dalam kereta yang bergerak dan apa yang harus dilakukan selepas gempa bumi.
Setakat ini Jabatan Meteorologi memberi jaminan tiada ancaman gempa bumi bermagnitud tinggi yang dijangka berlaku di negara ini namun tidak salah membaca panduan itu untuk pedoman dan menambah pengetahuan.
BAGI Suhaimi Ragesh Abdullah, 17 Okt ialah hari yang istimewa baginya kerana pada tarikh itu genaplah dua tahun beliau memeluk agama Islam.
Pada tarikh yang sama, rakyat Malaysia berketurunan India akan menyambut Pesta Cahaya atau Deepavali.
"Saya akan membuat Rumah Terbuka Aidilfitri dan Deepavali pada tarikh tersebut kerana saya mempunyai ramai sanak-saudara dan rakan yang berketurunan India serta juga rakan dan keluarga Melayu dari sebelah isteri saya," kata Suhaimi dari Puchong, Selangor.
DASAR KEBUDAYAAN NEGARA
Semangat yang dipamerkan Suhaimi menggambarkan penerimaan budaya bagi mereka yang telah merentas 'dua bangsa', menurut seorang bekas warga korporat yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk Zulkifly.
"Walaupun memeluk Islam, dan mengamalkan budaya Melayu, mereka tetap tidak lupa tradisi dan asal usul mereka," kata beliau kepada Bernama.
Hakikat yang Deepavali dikenali sebagai satu perayaan rasmi di Malaysia mencerminkan bahawa dasar kebudayaan kebangsaan menerima kewujudan masyarakat dan kebudayaan majmuk di Malaysia.
"Deepavali mempunyai kesan yang mendalam dalam hubungan antara kaum di mana rasa hormat yang spesifik kepada sesuatu kaum oleh rakyat Malaysia dapat dilihat.
"Dulu kita ada Semangat Muhibah yang diilhamkan (Perdana Menteri Kedua) Tun Abdul Razak (Hussein) dan kini rakyat mempunyai konsep 1Malaysia yang merupakan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Tun Abdul Razak)", kata Zulkifly.
GEOGRAFI BANGSA
"Malaysia unik dari segi landskap bangsa di mana kita mempunyai situasi yang boleh dianggap sebagai Geografi Bangsa. Bila ada Geografi Bangsa, semua elemen adalah bersangkut paut dan mempunyai pertalian rapat."
Menurut Zulkifly bangsa Melayu perlu kepada persaingan yang diberikan oleh etnik lain seperti dalam bidang pelajaran, ekonomi dan juga sukan.
"Kalau tiada persaingan yang mendorong kita mencapai kejayaan, kita mungkin berada ke belakang selama dua atau tiga dekad, tidak seperti apa yang dicapai oleh orang Melayu sekarang ini," kata beliau.
PERTINDIHAN KEBUDAYAAN
Menurut Zulkifly, rakyat Malaysia berlainan kaum tidak boleh 'dipisahkan'.
Terdapat tradisi yang dikongsi dan diamalkan oleh lebih daripada satu kaum.
"Contohnya kain pelikat. Orang India pun pakai, orang Melayu pun gunakan, orang Cina serta mereka daripada keturunan Baba Nyonya pun memakainya.
"Oleh kerana adanya pertindihan kebudayaan sebegini, masyarakat Malaysia adalah lain daripada masyarakat di negara lain, sebab itu cakap-cakap tentang perkauman tidak sesuai bagi gagasan 1Malaysia," kata Zulkifly.
Bagi Zulkifly, pertalian antara kaum yang rapat ini memperkaya lagi tradisi dan budaya rakyat malaysia.
"Kalau dulu Aidilfitri hanya dirayakan oleh orang Melayu, Deepavali oleh orang India dan sebagainya, kini tidak lagi. Kita ada DeepaRaya dan KongsiRaya", kata beliau.
Bagi rakyat Malaysia keturunan India, Selamat Hari Deepavali dan "Deepavali Nal Vathukal".
Kehidupan masyarakat Orang Asli kini sudah jauh berubah berbanding dahulu kerana mereka turut merasai nikmat kemakmuran dan pembangunan negara.
Kebanyakan mereka tidak lagi tinggal berselerak dalam kelompok kecil di hutan dan kini lebih selesa tinggal di kediaman tersusun di kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) yang disediakan kerajaan.
Tidak terkecuali bagi penghuni Orang Asli di Kampung Sungai Rual, 50 km dari bandar Jeli. Kehidupan mereka kini jauh berubah jika dibandingkan dengan masa dahulu.
Kini kawasan perkampungan mereka dilengkapi dengan bekalan air bersih, kemudahan elektrik, dewan orang ramai dan jalan berturap. Terdapat juga sekolah untuk anak-anak Orang Asli iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Rual.
Kebanyakan daripada penghuni Orang Asli di Kampung Sungai Rual juga beragama Islam.
HIDUP SELESA
Abdul Rashid Bernas, Penyelia Pembangunan Kampung Sungai Rual ketika ditemui Bernama mengakui hidup penduduk di kampung itu jauh lebih selesa berbanding dengan masa lampau.
Begitu juga keadaannya dengan dua lagi perkampungan Orang Asli di situ iaitu Kampung Sungai Manok dan Kampung Kalok.
Ada yang sudah mampu memiliki kereta, telefon bimbit malah melanggan siaran berbayar televisyen satelit. Boleh dikatakan, mereka hidup selesa kerana terdapatnya bantuan daripada kerajaan pusat.
Menurut Abdul Rashid, tanpa dibantu kerajaan agak sukar bagi Orang Asli ini untuk membina hidup baru dan meninggalkan adat resam nenek moyang mereka.
RUTIN HIDUP DIANCAM PEMBALAKAN
"Kalau dulu saya sering mengikut bapa dan datuk ke hutan untuk mencari akar kayu untuk dijadikan ubat tradisional, rotan untuk dijadikan kraftangan di hutan dekat dengan kampung ini, bagaimanapun sekarang susah nak buat macam tu lagi," katanya.
Menurut beliau, puncanya ialah hutan berhampiran kampung itu semakin diancam oleh aktiviti pembalakan malah kegiatan itu semakin mendekati kawasan kampung yang memberi pelbagai implikasi negatif kepada penduduk di sekitarnya.
"Dulu kampung ini sejuk, udara pun bersih, sekarang cuaca pun dah panas. Semuanya disebabkan banyak pokok yang sudah ditebang. Makin hari kawasan pembalakan semakin dekat dengan kawasan kampung," katanya.
"Bila lori balak keluar masuk, jalan rosak, berlubang-lubang. Jambatan pun rosak. Berapa kali baiki pun, rosak lagi. Yang susahnya, orang kampung di sini nak keluar masuk ke pekan jika ada urusan," katanya.
Ini diakui rakan Abdul Rashid, Ramli Pisang yang berkata air sungai di kampung itu yang dulunya jernih sehingga menampakkan kerikil di dasarnya, kini kotor dan keruh.
"Ikan yang ada pun tak sampai hati kita nak tangkap, kecil-kecil saja," katanya.
HILANG PUNCA PENDAPATAN TRADISI
Ramli, pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Sungai Rual juga melahirkan rasa terkilan kerana mata pencarian tambahannya iaitu mencari hasil hutan untuk dijadikan ubat tradisional, kini semakin sukar dilakukan.
"Akar kayu pun susah dah nak jumpa. Hutan pun dah tak macam dulu, pokok-pokok dah habis ditebang. Yang tinggal hanya pokok kecil, itu pun nak potong juga.
"Kalau tak dibantu kerajaan, susah nak hidup," kata Ramli yang merupakan penerima bantuan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).
Anggota Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed mengakui sehingga kini tahap kebergantungan Orang Asli di kawasan itu kepada kerajaan masih tinggi, walaupun telah banyak yang dilakukan untuk membantu golongan itu.
Katanya kehidupan masyarakat Asli di kawasan itu semakin terdesak berikutan kawasan persekitaran mereka yang terjejas ekoran aktiviti pembalakan sejak beberapa tahun lalu.
"Kawasan mereka cari makan sudah mengecil berbanding dulu, kalau dulu mereka boleh cari ikan di sungai, cari petai di hutan, tetapi sekarang sumber pendapatan mereka semakin kecil berikutan aktiviti pembalakan di sini.
"Di sini banyak lori balak keluar masuk menyebabkan jalan rosak,sungai pun tercemar, ini mengurangkan punca rezeki mereka yang memaksa mereka memohon bantuan daripada kerajaan," kata Mustapa.
BANTU PENDUDUK
Menurut Mustapa pelbagai projek dikhususkan kepada Orang Asli di Kampung Sungai Rual dan juga untuk penduduk Kampung Sungai Manok dan Kalok.
"Selain bantuan yang disediakan di bawah agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), kerajaan pusat juga menerusi projek di bawah Risda mengagihkan dividen sebanyak RM200 sebulan sebagai tambahan pendapatan kepada mereka.
Berhubung masalah pembalakan di situ, Mustapa berkata sukar untuk kerajaan pusat mengambil tindakan terhadap perkara itu kerana kawasan pembalakan tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri.
"Apa yang dapat kita lakukan, kita mengharap kerajaan negeri lebih peka kepada masalah yang sejak sekian lama dihadapi penduduk di situ," katanya.
Timbalan Pengarah JHEOA Kelantan dan Terengganu, Abdul Razak Arshad berkata RM11 juta diperuntuk untuk program pembangunan keluarga Orang Asli seluruh negeri Kelantan tahun ini.
Peruntukan itu termasuk melengkapkan infrastruktur dan pembinaan rumah kepada keluarga miskin tegar selain pemberian bantuan makanan.
TANAMAN KONTAN
"Kita juga menggalakkan mereka menyertai projek tanaman kontan jangka pendek seperti keledek madu dan memelihara ikan keli dalam kanvas.
"Di Kelantan sudah tidak ramai Orang Asli yang miskin tegar. Jika sebelum ini ada kira-kira 1,200 penduduk Asli yang miskin tegar, kini jumlah itu telah dapat dikurangkan kepada hampir separuh," katanya.
Terdapat kira-kira 600 penghuni Orang Asli di tiga kampung itu.
"KALAU akak boleh bagi saya tempat tinggal, makanan dan sekolah di tempat asal saya, saya akan balik.
"Saya tak nak hidup susah, kat sini hidup susah juga tapi lebih senang dari di kampung," luah Cham, kanak-kanak lelaki Kemboja yang ditemui penulis di sebuah perkampungan di pedalaman Sabah dalam satu Operasi Pendatang Tanpa Izin.
Cham baru berusia 12 tahun dan merupakan seorang daripada ribuan kanak-kanak yang diseludup masuk ke Malaysia untuk bekerja atau tinggal sementara sebelum dihantar ke luar negara.
TEMPAT TRANSIT
Kes seumpama Cham bukan perkara baru kerana Malaysia telah diketahui dijadikan lokasi transit aktiviti penyeludupan manusia.
Sejarah membuktikan Malaysia merupakan destinasi pelbagai manusia termasuk pedagang dari negara lain. Pedagang asing datang ke sini bagi aktiviti berdagang pelbagai barang termasuk hasil bumi seperti biji timah, getah dan kelapa sawit.
Aktiviti ini berlaku kerana kedudukan Malaysia yang terletak di tengah-tengah rantau benua Asia Tenggara yang dipisah dalam dua kelompok -- Kemboja, Laos, Thailand, Myanmmar, Vietnam dan Brunei, Filipina, Malaysia, Singapura, Indonesia serta Timor Timur.
Koordinator Anti Penyeludupan Manusia Tenaganita, Aegile Fernandez berkata disebabkan itu tidak hairanlah jika sindiket penyeludupan manusia mengambil kesempatan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum menempatkan 'barang dagangan' mereka ke negara lain.
Tenaganita ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memantau aktiviti dan membantu mangsa penyeludupan manusia ini.
Yang pasti negara ini juga dijadikan 'syurga' bagi meraih 'janji' ketua sindiket kononnya untuk mendapatkan keperluan dan kemahuan 'mangsa sindiket', katanya.
PENDATANG ASING
Beliau berkata aktiviti penyeludupan manusia ini berkait rapat dengan pendatang asing.
Kebanyakan mereka yang digelar pendatang tanpa izin ditawarkan pelbagai pekerjaan dan janji manis oleh majikan atau pihak yang membawa mereka ke negara ini.
Menurut statistik Tenaganita, kini trend permintaan terhadap kanak-kanak dan wanita terutama untuk dijadikan buruh dan pelacur, semakin meningkat.
Statistik itu menunjukkan dari 1 Mei 2004 hingga Mei tahun ini, seramai 117 wanita dan 78 kanak-kanak asing terlibat dengan jenayah hamba zaman moden di negara ini.
"Antara mangsanya ialah kanak-kanak seawal usia 12 tahun hingga wanita yang telah bergelar warga emas. Ada di antara mereka ditipu dengan tawaran untuk mendapat pekerjaan dengan gaji yang tinggi dan sah walaupun natijahnya ia satu komplot untuk menjadikan mereka mangsa penyeludupan manusia," kata Fernandez.
KEPERLUAN DAN KEMAHUAN 'HAMBA MODEN'
Umum mengetahui bahawa keperluan asas menjadi punca kenapa ada yang sanggup secara sukarela diseludup ke negara lain untuk bekerja bagi mendapat kehidupan yang lebih baik daripada negara asal mereka.
Fernandez berkata bagi 'hamba moden' wanita, mereka memerlukan rumah, makanan dan pendapatan manakala bagi 'hamba moden' kanak-kanak pula mereka mencari tempat untuk berteduh, makanan mengisi perut yang lapar dan pendidikan untuk belajar.
Katanya keperluan asas ini tidak didapati di negara asal mereka dan sebab itu mereka perlu bergerak ke tempat yang boleh menawarkan apa yang diperlukan mereka bagi membantu keluarga dan mendapatkan kehidupan yang lebih baik.
Oleh itu, pendatang asing ini terpedaya dengan janji palsu penyeludup untuk memberikan keperluan yang mereka idam-idamkan.
"Mereka turut berjanji untuk memberikan kemahuan yang tidak disangka-sangka oleh pendatang asing seperti baju yang cantik, duit simpanan yang boleh dihantar ke kampung, kereta, motosikal, rumah dan pelbagai lagi bagi mengaburi pandangan mangsa," katanya.
Katanya ada mangsa yang bercinta dengan anggota sindiket ini, sanggup mengikut teman lelaki berhijrah ke negara lain demi cinta, duit dan kehidupan yang lebih baik.
"Selepas ditipu dan dipaksa menjadi pelacur barulah mereka tahu akan permainan cinta yang memakan diri mereka ini," katanya yang turut menasihatkan wanita di negara ini agar tidak mudah terpedaya dengan ayat-ayat manis lelaki asing.
TERMALOGI PENYELUDUPAN MANUSIA
Pelbagai istilah digunakan penyeludup dan dalang sindiket ini bagi mengklasifikasikan mangsa mereka mengikut pekerjaan tertentu.
Antaranya "female order bride" yang merujuk kepada wanita yang diseludup untuk melakukan pelbagai kerja bermula seawal pagi hingga lewat tengah malam bagi membayar wang pendahuluan atau pinjaman kepada ketua sindiket.
"Di waktu pagi, mereka menjadi penoreh getah, menjelang tengah hari menjadi pembantu rumah separuh masa, menyediakan makanan, membasuh baju atau mengemas rumah. Malam pula mereka menjadi pelayan nafsu murahan," katanya.
"Cash and carry" pula merujuk kepada pelacur sepenuh masa di mana pelanggan akan memilih pelacur daripada katalog yang diberikan pemandu teksi sebelum dibawa ke tempat pertemuan dan kemudian wang dibayar untuk perkhidmatan yang diberikan.
"Fisherman stowes" pula merujuk kepada mangsa buruh lelaki yang datang dari Kemboja, Filipina, Thailand dan Indonesia yang menjadi nelayan asing tanpa rela di sekitar perairan Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Fernandez berkata kebanyakan mangsa hanya diberikan cuti tiga hari dalam sebulan, bekerja tanpa henti siang dan malam di laut dan jika mereka sakit, tidak diberikan rawatan perubatan yang betul.
Jika sakit teruk dan ada yang mati, akan dihumban ke dasar laut.
TRAUMA, TEKANAN PERASAAN
Akibat daripada apa yang dilalui, kebanyakan mangsa berhadapan dengan tekanan perasaan yang hebat, malah ada yang sanggup membunuh diri.
Fernandez berkata kebanyakan mangsa terutama wanita dan kanak-kanak yang ditemui berhadapan dengan tekanan psikologi yang teruk dan sukar untuk dipulihkan.
"Ada satu kes seorang mangsa yang diseludup dipaksa bekerja sebagai pelacur. Mangsa yang gagal cuba melarikan diri, melalui tekanan perasaan yang dahsyat dan akibatnya dia sering mandi dan mengasingkan diri daripada dunia luar kerana merasa diri teramat kotor," katanya.
Peristiwa hitam remaja dari Kemboja itu bermula pada usia 12 tahun apabila dibawa masuk ke Malaysia dan dihantar ke England.
Remaja itu pernah cuba melarikan diri daripada sindiket itu, namun gagal dan akibatnya dikenakan hukuman dibogelkan dan diikat terbalik dengan kaki ke siling dan jarinya dimasukkan ke dalam soket elektrik," katanya.
Tenaganita berjaya menyelamatkan remaja itu semasa usianya 16 tahun. Tetapi ketika itu dia sudah dijangkiti virus HIV dan kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan, katanya.
Beliau berkata mangsa sehingga kini masih lagi mengalami trauma dan sentiasa berfikir untuk membunuh diri selain enggan menjalani pemeriksaan di hospital dan menemui ibu bapanya.
Terdapat mangsa sindiket ini yang dikurung, diberikan heroin dan kokain supaya tidur di waktu siang manakala dipaksa makan ecstasy pada waktu malam untuk melayan pelanggan,katanya.
Fernandez berkata sikap masyarakat yang enggan mengambil peduli apabila melihat aktiviti mencurigakan, perlu diubah.
"Jiran mangsa sekadar melihat tanpa bertanyakan apa-apa apabila ada aktiviti yang mencurigakan di kawasan mereka...sepatutnya kena jaga tepi kain orang dengan melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya.
Mengapa wanita Malaysia terus jadi 'keldai dadah' antarabangsa
MEREKA datang dari pelbagai negara dengan taktik dan kemahiran yang berbeza. Sangat licik hingga pergerakan mereka kadang kala sukar dikesan.
Menjalankan perniagaan dadah yang keuntungannya berlipat ganda, mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggunakan pas pelajar. Sesetengahnya datang ke negara ini menyamar sebagai ahli perniagaan atau sebagai pelancong bagi memudahkan pergerakan aktiviti haram itu. Warga asing ini terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah di bawah sindiket antarabangsa yang sentiasa berubah operasinya mengikut keadaan dan keperluan semasa.
Dasar langit terbuka Malaysia, globalisasi dan teknologi terkini di dunia membantu memudahkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa mengaktifkan rangkaian mereka.
Malaysia yang tidak terlepas daripada dilibatkan dalam aktiviti ini, menjadi transit atau rumah kepada penggunaan tempatan.
Hasil pemantauan Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia mendapati ramai daripada mereka yang terlibat ialah rakyat negara Afrika Selatan, Nigeria, Pakistan, Peru, India dan Iran yang memperdagang pelbagai jenis dadah.
WANITA DIGULA-GULA
Trend terkini ialah menggunakan wanita sebagai orang perantaraan.
Untuk memancing mereka, lelaki yang bertubuh sasa, bergaya, pandai bermain kata-kata dan berlagak kaya seperti tinggal di kondominium mewah, menjadi "gula-gula" menjinakkan mangsa.
Kebiasaannya wanita yang mudah cair dengan janji-janji manis dan kemewahan, menjadi sasaran sindiket ini untuk dijadikan kurier atau keldai dadah.
Bergerak dalam kumpulan kecil atau individu, warga Afrika Barat antara yang paling dominan dikesan menggunakan wanita untuk dijadikan teman wanita yang kemudian digunakan untuk menyeludup dan mengedar dadah.
Wanita yang dijadikan mangsa ini pada mulanya ditaburkan kemewahan dengan menyediakan tempat tinggal dan keperluan mahal lain termasuk dibawa melancong ke luar negara, habuan wang ringgit dan seks.
Penglibatan wanita tempatan sebagai kurier dadah antarabangsa telah menjadi isu nasional kepada Malaysia apabila ramai yang ditangkap dalam ke keadaan mereka terpedaya, di Amerika Selatan dan Eropah.
HALANG WANITA JADI MANGSA
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata pada tahun 2007 seramai 127 wanita Malaysia ditahan di luar negara kerana memiliki dadah untuk tujuan pengedaran oleh sindiket yang menjadikan mereka keldai dadah ini.
Berikutan bimbang dengan senario ini, Jabatan Narkotik Bukit Aman menubuhkan sebuah pasukan bertindak untuk menanganinya.
Pasukan ini bekerjasama dengan Interpol dan berkongsi maklumat dengan polis negara lain untuk mengesan dan mengekori lelaki-lelaki ini yang cuba merapati wanita tempatan.
Mereka ini akan diusir keluar dari Malaysia selepas ditahan dan diberi amaran, jika tiada dadah ditemui pada mereka untuk membolehkan mereka didakwa.
Tindakan serius polis itu menyebabkan jumlah rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara menunjukkan penurunan berganda pada tahun lepas kepada 54 orang.
"Tahun ini sehingga Mei, hanya 8 orang dikesan dijadikan keldai setelah polis semakin mudah mengenal pasti mereka yang terlibat melalui tangkapan yang dibuat," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
WARGA ASING YANG DITAHAN
Tahun lepas seramai 34 warga negara asing ditahan -- tujuh dari Nigeria, Peru (11), Afrika Selatan (3), India (10), China, Filipina dan Bolivia masing-masing seorang yang melibatkan rampasan heroin sebanyak 4kg kokain 2kg dan ketamin 18kg.
Dari Januari hingga Jun 2009 pula seramai 17 orang ditahan -- 2 dari Singapura, Nigeria (6), Iran (1), Pakistan (3), Thailand (2), Indonesia (3). yang membabitkan rampasan 786 gram syabu dan 14.64 kg heroin.
Terbaru dari Jun hingga Ogos tidak kurang 10 orang warga asing ditahan atas kesalahan menyeludup dan mengedar dadah, antaranya lima warga India dan Myanmar yang berumur antara 30 hingga 40 tahun kerana menyeludup dadah jenis ketamin pada 15 Ogos lepas dan penahanan seorang wanita warganegara Filipina yang dipercayai menjadi keldai dadah sindiket antarabangsa untuk membawa kokain dari Amerika Selatan pada 28 Ogos lepas.
Othman berkata pemantauan secara dekat polis ini menyebabkan sindiket dadah itu mengubah strategi dengan mensasarkan wanita dari negara jiran seperti Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, dan Brunei.
Mengikut Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, 111 wanita Filipina telah ditahan kes berkaitan dadah di China, Hong Kong dan Macau pada 2008. Angka itu menunjukkan pertambahan berlipat kali ganda berbanding hanya 16 orang ditahan pada 2007.
Modus operandi mereka ini sama -- mengambil dadah dari negara Amerika Selatan seperti Peru, Argentina dan Brazil untuk dibawa masuk ke dalam negara sebelum dibawa keluar menggunakan wanita-wanita berkenaan ke negara-negara jiran dan sekitar Asia.
Othman berkata kebiasaannya dadah yang dibawa dari negara sebelah Amerika Selatan ialah jenis kokain dan bukan untuk pasaran tempatan kerana pengguna dadah di negara ini tidak mengambil dadah jenis itu.
Akibat kepanasan aktivitinya dikesan, sindiket itu mengubah strategi dengan menggunakan wanita Filipina untuk membawa keluar dadah terutama jenis heroin ke Ghoungzo, China, menggunakan transit ke Thailand, kemudian Kemboja dan Vietnam.
PENGLIBATAN NEGARA LAIN
Selain warga Afrika, sindiket ini juga menggunakan lelaki dari negara seperti India, Pakistan dan Iran.
Othman berkata dadah jenis ketamin ialah dadah yang biasa diseludup masuk oleh warga negara India ke Malaysia, Pakistan lebih kepada heroin dan syabu.
Dadah syabu yang dibawa masuk warga Iran ke Malaysia, kata Othman, lebih untuk pasaran luar negara terutama Jepun.
Pendekatan yang digunakan hampir sama -- memikat dan menjadikan wanita sebagai keldai mereka bagi menghantar bekalan ke negara luar.
Pelbagai taktik digunakan untuk membawa masuk dadah sama ada melalui udara, jalan laut mahupun darat.
Daripada tangkapan yang dilakukan polis mengenal pasti beberapa kaedah popular -- 'Body Packed" atau melekatkan dadah pada badan dan menelan dadah.
Othman berkata keldai dadah ini pun sanggup menggadai nyawa mereka dengan menelan dadah yang cuba dikesan.
Menggunakan bagasi, merupakan kaedah lama yang digunakan penyeludup, iaitu menyediakan satu ruang khas bagi menempatkan dadah itu. Bagaimanapun banyak kejayaan pihak berkuasa mengesan penyeludupan dadah menggunakan kaedah ini.
Antara taktik lain ialah menggunakan sabun mandi yang ditebuk untuk dimasukkan dadah, bingkai gambar, komputer riba dan yang terbaru kaedah menggunakan baju yang direndamkan ke dalam cairan dadah.
DALAM
tempoh hampir dua tahun, sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garis sesar (garisan gempa bumi) Bentong, di Pahang.
Tiga lagi gempa bumi itu berlaku di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Rosaidi Che Abas berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas sebanyak 29
BAGI
Suhaimi Ragesh Abdullah, 17 Okt ialah hari yang istimewa baginya kerana pada tarikh itu genaplah dua tahun beliau memeluk agama Islam.
Pada tarikh yang sama, rakyat Malaysia berketurunan India akan menyambut Pesta Cahaya atau Deepavali.
"Saya akan membuat Rumah Terbuka Aidilfitri dan Deepavali pada tarikh tersebut kerana saya mempunyai ramai sanak-saudara dan rakan yang berketurunan India serta
Umno Perak hari ini mendesak Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya segera membuktikan tuduhan bahawa Umno terlibat mengubahsuai gambar yang memaparkan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu.
Sebaliknya, Yang dipertuanya, Dr Mohd Dhari Othman kata ia satu lagi pembohongan untuk meredakan kerisauan Umno Larut yang berdepan dengan kemerosotan sokongan pengundi di situ.
Kerajaan negeri Pulau Pinang menghargai dan mengiktiraf lebih 107,620 warga emas yang berdaftar sebagai pengundi dengan memberi sumbangan tahunan RM100 seorang sebagai tanda prihatin kerajaan Pakatan Rakyat itu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Abdul Ghani Che Kassim nafi keluar kenyataan bahawa pemangku Raja Kelantan berjaya membida nombor pendaftaran kenderaan "DBQ 1".
Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini menegaskan kenyataan beliau bahawa pemimpin PAS telah meminta perdana menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, bukan sesuatu yang baru.
KUALA PILAH, 3 Sept (Bernama) -- Nasib 14,500 kakitangan kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), sama ada akan diserapkan ke jawatan tetap atau tidak, akan ditentukan selepas selesai perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang melakukan kajian untuk merombak modul kursus untuk pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD), kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.
BUTTERWORTH, 3 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdaganagan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mendapati tiada peniaga di Pulau Pinang yang menjual barangan melebihi harga siling yang ditetapkan dalam Skim Kawal Harga Musim Perayaan (SKHMP) yang berkuatkuasa pada Jumaat.
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS) menyasarkan sejumlah RM4 juta jualan bagi pelan Ikhlas Hajj Savings Takaful dengan permohonan keseluruhan sebanyak 7,000 peserta sebelum April tahun depan.
SEREMBAN, 3 Sept (Bernama) -- Perkhidmatan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) akan ditutup selama dua hari iaitu pada 10 dan 11 Sept ini sempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri.
KUALA SELANGOR: Selangor Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim is likely to face three other contestants for the post of PKR Kuala Selangor division chief of on Oct 3.
KUALA LUMPUR: Those intending to hold Aidilfitri open houses have been reminded by the Islamic Development Department (Jakim) to ensure all ingredients used in the food preparation are halal (permissible in Islam).